Somaliland: ‘Negara’ Tidak Didendang

somaliland_flag

Jika kita sebut Masjid Qiblatain, secara automatik kita akan terbayang lokasi masjid tersebut di Madinah.Namun, tahukah anda ada satu lagi lokasi Masjid Qiblatain yang terletak di Saylac , Somaliland?

Sewaktu penghijrahan sahabat Nabi S.A.W ke Habsyah, lokasi ini telah dijadikan sebagai tempat persinggahan sahabat dan terus mendirikan masjid di situ.

Penulis berkesempatan untuk ke negara ini sebanyak 2 kali pada tahun 2015 dan 2017 serta menyaksikan perubahan sosio-ekonomi yang sedang berlaku dengan cepat dalam tempoh tersebut.

Umum akan bertanya, di mana terletaknya Somaliland? Apa yang menarik tentang Negara yang mempunyai penduduk seramai sekitar 4 juta orang ini?

Wilayah Uthmaniyah

Sewaktu pemerintahan Turki Uthmaniyah, ulama-ulama telah dihantar ke wilayah ini untuk menyebarkan ajaran islam.Tokoh seperti Sheikh Madar telah membuka Bandar Hargeisa dan Sheikh Yusuf Mama telah membuka Bandar Berbera.

Tinggalan bangunan Kerajaan Turki Uthmaniyah masih lagi jelas kelihatan terutamanya di Bandar Berbera. 

Bekas Jajahan British

peta

Terletak di utara Somalia, Somaliland merupakan negara bekas jajahan British dan pernah diberi jolokan ‘Switzerland of Africa’ pada awal tahun 1960an disebabkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang dikecapi pada waktu itu.

Kemudian, Negara ini bergabung dengan Somalia sehingga akhir 1980an dan berlakunya perang saudara pada tahun 1988-1991 yang menyebabkan Somaliland mengambil keputusan untuk mengiktiraf kemerdekaan sendiri  apabila perang saudara tamat.

Setelah 26 tahun berlalu, Negara ini masih tidak mendapat pengiktirafan untuk bergerak sebagai Negara walaupun struktur politik dan ekonomi secara zahirnya sudah beroperasi seperti di negara yang lain.

Malaysia di mata Somaliland

group_photo

Bagi rata-rata penduduk Somaliland, Malaysia merupakan Negara yang tidak asing di mata mereka.Sebagai Negara Islam, pengamalan mazhab di Somaliland tidak jauh berbeza daripada Malaysia kerana mereka mengamalkan mazhab Syafi’e.

Sehingga ke hari ini sekitar hampir 2000 warga Somaliland berada di Malaysia samada sebagai pelajar, bekerja atau menjalankan perniagaan import-eksport.

Selain itu, Malaysia dijadikan destinasi utama bagi rakyat Somaliland berkaitan perkhidmatan hospital bagi merawat penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Hubungan ini menjadi agak rapat kerana Malaysia pernah satu ketika dahulu mengiktiraf passport Somaliland.

Namun, sejak passport Somaliland tidak diiktraf oleh Malaysia, warga Somaliland semakin kurang menjadikan Malaysia sebagai destinasi rawatan kesihatan.Antara tempat tumpuan mereka mendapatkan rawatan kesihatan adalah seperti  Hospital Prince Court, Hospital Al Islam Kampung Baru dan Pusat Perubatan HUKM.

Ekonomi di Tanduk Afrika

group_photo2

Bagi Negara yang menjadi pengeksport terbesar unta dan kambing ke Arab Saudi pada musim haji, pada awal tahun ini juga, Negara Emiriyah Arab Bersatu  telah bersetuju untuk melabur dalam pengurusan Pelabuhan Berbera dengan nilai sebanyak USD 422 juta.

Kedudukan Berbera sebagai pintu masuk bagi Afrika Timur telah menjadikan Negara ini mempuyai laluan masuk strategik ke beberapa Negara sekitar di zon Afrika Timur terutamanya Ethiopia yang mempunyai penduduk lebih kurang 90 juta orang.

Pada tahun ini juga, Turki sedang melobi untuk mempunyai penerbangan terus dari Istanbul ke ibu Negara Somaliland.

Sehingga artikel ini ditulis, Negara seperti China, Turki, AS, UK dan beberapa Negara Eropah sudah mula bertapak di Negara ini bagi melihat peluang dari sumber mineral dan tenaga yang masih belum dieksploitasi.

Pada masa yang sama, jangan terkejut, penduduk Somaliland menjalankan urusniaga dengan menggunakan telefon bimbit dan mereka juga merupakan negara yang pertama di dunia ini mengamalkan konsep ‘cashless’ ke seluruh masyarakat mereka termasuk yang di pedalaman.

Pilihanraya Presiden

Bagi bekas Negara jajahan British ini, pada 13 November yang lalu, Somaliland telah memilih Presiden yang baru.

Berdasarkan suasana negaranya yang stabil dan aman berbanding jiran mereka Somalia dan malah di beebrapa negara lain, pemerhati antarabangsa menyifatkan, pilihanraya di Somaliland antara yang terbaik di benua Afrika.

Ini dinyatakan oleh kenyataan bersama berkaitan keputusan Pilihanraya Presiden Somaliland oleh  Amerika Syarikat dan 12 negara dari Kesatuan Eropah.

Pada pemilihan presiden ini juga, Somaliland merupakan negara pertama dalam dunia yang menggunakan teknologi ‘iris recognition’ .Dengan jangkauan internet berkelajuan 4G di kebanyakan tempat termasuk di beberapa kawasan pedalaman, tidak mustahil teknologi seperti ini mudah dilaksanakan di negara tersebut.

 Masa Depan Somaliland- Malaysia

group_photo3

10 tahun yang lepas, usaha untuk merapatkan hubungan diplomatik antara Somaliland dan Malaysia pernah dilaksanakan.Mungkin pada waktu itu ‘masa’ yang tidak sesuai dan terlalu cepat.

Berdasarkan suasana yang ada pada ketika ini, hubungan ekonomi dan politik adalah sesuai dilaksanakan.Memandangkan Malaysia pernah dijadikan sumber rujukan Somaliland bagi pembangunan negara mereka sekitar awal dan pertengahan 2000, usaha ini seharusnya diteruskan lagi.

Malah pada tahun 2007, bekas Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir pernah membuat kenyataan berkaitan potensi Somaliland sebagai kuasa ekonomi baru di Tanduk Afrika.

Peluang laluan ekonomi Afrika melalui Somaliland sebagai pintu masuk  Afrika Timur menjadi mudah kerana faktor sejarah dan hubungan diplomasi secara tidak rasmi yang pernah wujud antara Malaysia dan Somaliland.

Sektor ekonomi seperti menjadikan Somaliland sebagai pusat Hab Halal di dan Pembangunan Kewangan Islam di Afrika Timur merupakan sektor yang  tidak patut dilepaskan memandangkan kebanyakan graduan Kewangan Islam di sana adalah lepasan universiti di Malaysia.

Oleh itu, selaku Negara Islam yang progresif, seharusnya Malaysia boleh mengambil manfaat dengan perkembangan ekonomi di negara Tanduk Afrika tersebut.

**Catatan perjalanan pertama (2015) saya dan rakan ada dinukilkan dalam buku travelog ‘Menumpang Teduh Pohon Akasia : Somaliland bukan Somalia’ berkaitan pengalaman pertama melihat suasana dan struktur masyarakat di sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *