Tsunami Industri Umrah

Buat sekian lama, pakej umrah menjadi suaka selamat bagi pengusaha agensi pelancongan. Visa dikawal ketat oleh kerajaan Arab Saudi dan harus melalui agensi pelancongan yang diiktiraf. Bahkan agensi pelancongan yang dikesan menjual visa kepada jemaah umrah yang pergi secara individu akan dikenakan kompaun yang tinggi.

Masuk tahun 2019, kerajaan Arab Saudi mengorak langkah drastik bekerjasama dengan Agoda bagi menawarkan perkhidmatan e-Umrah. Malah visa boleh dipohon oleh jemaah individu terus secara online. Ini semua bagi membantu usaha kerajaan Arab Saudi mencapai sasaran 30 juta pengunjung setiap tahun. Mereka tidak mahu lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum.

Semenjak Muhammad Bin Salman mengambil alih tampuk pemerintahan, Arab Saudi seakan jatuh cinta dengan dunia startup Silicon Valley. Pada tahun 2016 tidak semena-mena mereka melaburkan USD3.5 bilion ke dalam Uber. Oleh itu kerjasama mereka dengan Agoda tidaklah menghairankan.

Perkembangan ini bakal memberi pukulan dahsyat kepada para pengusaha agensi umrah di Malaysia. Selama ini mereka hanya bersaing dalam pasaran tempatan yang terkawal. Kini mereka perlu menghadapi sepak terajang persaingan global.

Walaupun perolehan pengusaha agensi umrah boleh mencecah jutaan ringgit setiap tahun, margin keuntungan mereka sangat tipis. Kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil perolehan untuk menjadi modal pusingan seterusnya. Mereka ibarat kais tahun makan tahun.

Agoda pula adalah startup gergasi dengan suntikan modal ratusan juta dari pelabur yang tidak mengharapkan pulangan segera. Mereka boleh bakar duit bertahun-tahun sebelum mencapai keuntungan. Agoda boleh mengais bertahun-tahun kerana dedak terus ditabur ramai penternak.

Struktur kos juga jauh berbeza di mana para pengusaha agensi umrah berhadapan ketempangan ketara. Mereka perlu mengeluarkan kos terlebih dahulu untuk pajakan hotel dan tempahan tiket pesawat. Jika tidak, mereka tidak dapat menjual pakej pada harga yang murah. Lebih teruk lagi, mereka mungkin tidak dapat menjual pakej langsung kerana ketiadaan bilik dan pesawat jika tidak menempah lebih awal.

Struktur Kos Agensi Umrah

Struktur Kos Agoda

Pengusaha agensi umrah mempunyai kos tetap yang besar dengan untung terhad. Agoda pula mempunyai kos boleh ubah dan untung yang tidak terhad. Mereka tidak mempunyai kos inventori dan kos pembangunan platform pula telah balik modal melalui jualan bilik hotel destinasi lain selama ini.

Agoda dengan mudah boleh membuli pasaran ibarat askar dengan peluru infiniti. Para pengusaha agensi umrah pula ibarat hanya ada sekotak peluru. Di lapangan Google Ads sahaja para pengusaha agensi umrah sudah boleh terkorban. Agoda boleh membida harga yang jauh lebih tinggi berbanding pengusaha agensi umrah tempatan. Sistem mereka juga sudah boleh menjana iklan secara automatik. Setiap hasil carian tentang umrah, hotel Mekah dan Madinah akan didominasi Agoda.

Kita sudah boleh lihat sekarang kesan Agoda dalam harga bidaan Google Ads. Sebagai contoh kata kunci ‘Hotel Bandung’ berharga RM2.20 setiap klik sedangkan ‘Hotel Mekah’ hanya RM1.80 per klik. Kata kunci ‘Pakej Umrah’ pula hanya RM0.76 per klik. Selepas ini berapa pula harganya kalau Agoda sudah membida kata kunci tersebut?

Seperkara lagi, startup platform gergasi biasa mengikut skrip seperti Uber. Mereka boleh bakar duit mensubsidi perkhidmatan bertahun-tahun sehingga pesaing melingkup. Dalam tempoh itu app mereka sudah dalam smartphone setiap pelanggan. Apabila sudah dominan, harga dinaikkan sesuka hati. Para pelanggan yang sudah dirantai smartphone mereka akan pasrah dan akur sahaja. Adakah para pengusaha agensi umrah bersedia untuk menghadapi perang tanpa penghujung ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *